Portal Menyemak Maklumat Penipu Online

Portal semak penipuan online

Saban hari kita terdengar mengenai kes-kes penipuan online yang semakin menjadi-jadi. Si penipu online ataupun dipanggil scammer semakin bertambah berani memerangkap mangsanya. Sebenarnya setiap belian di internet mempunyai risikonya yang tersendiri. Ada mangsa yang hanya kerugian puluhan ringgit manakala ada mangsa yang hampir hilang arah apabila ditipu puluhan ribu ringgit.

Terdapat beberapa bentuk modus operandi si penipu online antaranya :

Ada yang menjalankan penipuan online dengan menjual barangan yang samar-samar spesifikasinya. Sebagai contoh, memaparkan gambar produk yang dijual dengan begitu menarik sekali tetapi apabila produk diterima oleh si pembeli, lain pula spesifikasinya. Malah ada yang terkena dengan taktik si penipu yang menghantar barang yang dibeli kepada mangsa yang sama sekali bukan sepertimana yang dibayar. Nilai harga barang yang diterima juga amat rendah nilainya sekiranya mangsa membeli di kedai-kedai yang menjual barang yang sama secara offline. Dalam kes-kes sebegini amat payah untuk mengheret scammer ke muka pengadilan kerana transaksi urusniaga adalah sah cuma ia berlangsung dalam suasana yang tidak beretika.

Terdapat juga kes di mana mangsa langsung tidak menerima barangan yang telah dibayar. Si penjual lesap begitu sahaja dengan mendiamkan diri. Ini adalah contoh scammer yang amat berani. Mereka kebiasaannya akan menggunakan nombor akaun yang berbeza untuk setiap produk yang dijual. Scammer langsung tidak menghiraukan tentang bentuk tindakan yang mungkin diambil oleh pembeli sekiranya mangsa berhasrat untuk merujuk perkara tersebut kepada pihak berkuasa.

Satu lagi bentuk penipuan online ialah scammer membeli jiwa mangsa dengan berpura-pura berkawan dan bercinta dengan mangsa. Secara puratanya mangsa adalah terdiri dari wanita yang tidak mempunyai kekasih atau pasangan. Mereka menggunakan foto lelaki yang mempunyai paras rupa yang menarik bertujuan untuk memancing mangsanya. Setelah hubungan berlanjutan untuk tempoh yang tertentu, maka bermulalah episod lakonan tahap dewa dengan berpura-pura memberitahu bahawa mengidap penyakit kronik dan memerlukan sedikit sumbangan untuk mengubati penyakit mereka. Kes-kes penipuan sebegini biasanya melibatkan pemindahan wang yang banyak mencecah puluhan atau ratusan ribu ringgit kepada akaun pihak scammer. Emosi bercampur-baur antara cuba untuk tidak mempercayai dan perasaan simpati kepada kekasih online akhirnya berpihak kepada scammer. Scammer kategori ini merupakan pelakon hebat yang bijak bermain kata-kata cinta hingga tergadainya harta benda mangsa

Serentak dengan peningkatan kes-kes penipuan online, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membangunkan sebuah portal untuk rakyat Malaysia menyemak nombor akaun scammer untuk mengetahui samada nombor akaun tersebut telah mempuyai rekod di pangkalan data PDRM.

Portal PDRM : Semak Maklumat Penipu Online

Pautan ke portal tersebut ialah http://ccid.rmp.gov.my/semakmule. Penggunaannya amat mudah hanya perlu :

  • Memasukkan nombor akaun bank atau nombor telefon scammer.
  • Sila pilih samada anda memasukkan nombor bank atau nombor telefon scammer.
  • Masukkan kod sekuriti CAPTCHA.
  • Klik butang Semak Maklumat.

Seterusnya sistem portal tersebut akan mula menyemak dan memberitahu pengguna samada maklumat carian wujud dalam rekod PDRM ataupun tidak.

Oleh itu berwaspadalah selalu apabila ingin membuat pembelian secara online dan kawallah perasaan anda apabila mendapat kekasih online yang secara tiba-tiba cuba mengisi kekosongan jiwa anda. Jiwa selamat, harta benda selamat, itulah yang kita inginkan.

Leave a Comment

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.