Pakej Streamyx Mahal

telekom streamyx product

Jika pengguna diberikan pilihan samada Streamyx atau Unifi pada harga yang sama sudah tentu mereka memilih Unifi. Namun bukan semua kawasan kediaman atau perniagaan mempunyai liputan Unifi. Inilah yang menjadi salah satu dilema oleh pengguna Streamyx samada ingin mengekalkan pakej sedia ada atau beralih ke syarikat penyedia telekomunikasi yang lain atau terus berhenti melanggan Streamyx dari Syarikat Telekom Malaysia Berhad.

Tambahan pula kelajuan Streamyx yang diberitakan tidak menepati kelajuan yang dinyatakan pada produk tersebut. Apakah tuduhan tersebut benar? Apa yang pernah Admin lalui bersama pakej Streamyx sebelum ini ialah ketidakstabilan rangkaian Streamyx. Kerapkali tidak dapat digunakan dan setelah menunggu beberapa ketika baharulah Admin dapat memasuki Internet. Akibat dari terlalu kerap terjadi dan perkara ini terjadi di waktu malam, sehinggakan Admin malas nak menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan secara dalam talian. Hanya terus bersabar dan menunggu hari esok untuk memasuki Internet menerusi rangkaian Streamyx. Anehnya keesokan harinya talian mula boleh digunakan. Alangkah elok sekiranya Telekom memberikan rebat pada bil sekiranya talian Streamyx tidak dapat digunakan oleh pelanggan. Mereka ada memberikan cadangan agar Admin menghubungi bahagian akaun untuk mendapatkan rebat tetapi bukankah mereka boleh mengetahui kawasan mana yang terjejas dan rebat diberikan secara automatik dalam bil pada bulan tersebut?

Mungkin kerana terlalu ramai pengguna Streamyx yang mula bertindak meluahkan perasaan tidak puas hati mereka sehingga sampai kepada pengetahuan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo akhirnya Syarikat Telekom Malaysia Berhad selaku pemilik produk Streamyx telah bersetuju untuk memperkasakan produk mereka. Kini, tawaran serendah RM89 bagi Streamyx berkelajuan 8Mbps untuk pelanggan baru manakala tawaran serendah RM69 bagi pelanggan sedia ada.

Dalam artikel terdahulu, ada dinyatakan cara-cara menguji talian broadband. Anda boleh mengikutinya di artikel Melakukan Ujian TMSpeedTest.

Petikan dari akhbar harian Metro terbitan pada Sabtu 27/7/2019 berkenaan isu pakej Streamyx yang mahal.

Syarikat Telekom Malaysia Berhad

________________________________________________________

TELEKOM Malaysia Berhad (TM) hari ini mengumumkan pengguna Streamyx bakal menikmati Internet berkelajuan sehingga RM8Mbps dengan tawaran harga serendah RM89 sebulan manakala pelanggan sedia ada menikmati tawaran itu serendah RM69 bermula September ini.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Kumpulan TM, Rosli Man sebagai penyelesaian kepada gesaan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang meminta syarikat telekomunikasi itu menyelesaikan pelbagai aduan rakyat berhubung perkhidmatan Internet termasuk tidak menepati kelajuan memuaskan selain harga terlalu tinggi.

Rosli berkata, pihaknya hari ini menyerahkan pelan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membantu 934,000 pengguna Streamyx di seluruh negara memperluas liputan dan kualiti Internet.

“Hari ini, kami mengumumkan pengimbangan semula tarif kepada pelanggan Streamyx yang selama ini setia dengan TM, jadi pengguna sedia ada akan menikmati pakej baru pada harga RM69 sebulan dengan data berkelajuan sehingga RM8Mbps.

“Bagi pelanggan baharu mahu menggunakan Streamyx berkelajuan 8Mbps pula akan menikmati tawaran harga RM89,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Kembara Digital Malaysia 2019 di Bulatan Sultan Azlan Shah di Ipoh, hari ini.

Program berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan turut dihadiri Gobind.

Rosli berkata, bagi mengatasi kekangan jalur lebar perkhidmatan itu, TM menggunakan rangkaian tembaga menerusi pelbagai teknologi hibrid termasuk fiber, ‘wireless’ dan ‘Gigawire’ yang dilaksanakan secara berperingkat bermula hari ini hingga 2021.

“Dijangkakan, sebanyak 70 peratus daripada kumpulan pelanggan ini akan dapat menikmati perkhidmatan berkenaan menjelang akhir tahun depan.

“Dulu, pelanggan Streamyx mengadu mereka bayar mahal tapi tidak mendapat kelajuan Internet tinggi dan kita cari penyelesaian terbaik dengan menaik taraf kelajuan Internet lebih tinggi dalam tempoh setahun hingga setahun setengah,” katanya.

Sementara itu, Gobind berkata, kementeriannya memandang serius dalam memastikan infrastruktur jaringan jalur lebar dinikmati semua rakyat dengan mengumumkan beberapa strategi termasuk Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

“Sasaran kita untuk memastikan 98 peratus daripada rakyat Malaysia mempunyai akses Internet dan bagi memastikan perkara itu, kita adakan pelbagai program untuk menunjukkan kepada rakyat cara menggunakan Internet dalam kehidupan seharian,” katanya.

________________________________________________________

Dengan perkembangan terbaru ini membolehkan lebih ramai lagi rakyat Malaysia yang mampu melanggan perkhidmatan Streamyx. Tiada lagi isu pakej Streamyx mahal dan kita seharusnya lebih fokus kepada apakah talian Streamyx stabil dan menepati kelajuan yang dijanjikan.

Leave a Comment

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.