Seram, ngeri, takut. Itulah yang boleh dikatakan.
Sekitar 0.01% akaun yang terlibat. Nampak macam tak banyak tapi cuba kita ambil kalkulator dan kira 0.01 x Jumlah pengguna Google. Berapa jumlah pengguna Google? 1 juta? 100 juta? Angka ini mungkin melepasi 1 billion.
Kejadian yang berlaku sekitar 21 November ke 25 November tahun 2019 merupakan detik hitam buat Google kerana sesungguhnya pengguna tidak menyangka langsung gergasi perisian sebesar Google boleh menghadapi masalah teknikal sedemikian rupa.
Pihak Google telahpun memohon maaf kepada semua pengguna yang terkesan dari masalah teknikal tersebut. Ia merupakan masalah dibahagian muat-turun video dari server Google.
Terdapat sebuah tweet dari seseorang (Jon Oberheide) berkaitan perkara ini.
Bagaimana Ianya Boleh Berlaku?
Kes direkodkan apabila seseorang melakukan muat-turun melalui kemudahan yang disediakan oleh Google Takeout. Apabila permohonan untuk memuat-turun video dilakukan, Google akan memproses permohonan tersebut dan menyediakan data dalam bentuk archive (data arkib). Setelah selesai proses mengarkib data atau fail-fail yang diminta, Google akan memaklumkan kepada pengguna melalui email.
Pada peringkat mengarkib data telah berlaku masalah teknikal dimana fail-fail anda mungkin akan diarkibkan ke fail arkib pengguna yang lain yang juga melakukan proses permohonan muat-turun dari Google.
Google telahpun mengeluarkan kenyataan bahawa masalah tersebut telah diselesaikan dan ianya mungkin bersangkutan dengan masalah bugs (pepijat) dalam sistem mereka. Email telah dihantar kepada pengguna dan jika anda tidak menerima sebarang email berkaitan isu ini, maka, video anda tidak terjejas dengan masalah teknikal yang menjadi topik artikel ini.
Kesimpulan :
Mungkin pengguna masih lagi bernasib baik kerana kemudahan Google Takeout ini tidak ramai yang mengetahui kewujudannya dan sekiranya mereka tahu pun, mungkin tidak pernah menggunakannya. Walau bagaimanapun perlu diingatkan di sini, menyimpan sebarang kandungan fail yang sensitif di alam internet sentiasa ada risikonya dan berhati-hatilah dengan apa jua kandungan sensitif yang disimpan di sana. Adalah menjadi harapan pengguna untuk pihak Google sentiasa menguji sistem mereka di tahap optimum agar kesilapan yang sama dapat dielakkan di masa hadapan.
Rujukan : 9to5Google, CNBC