Mengelak Jangkitan COVID-19

covid-19 perintah kawalan pergerakan

Terpanggil pula untuk mencoret sesuatu buat seluruh rakyat Malaysia dalam kita mendepani wabak jangkitan COVID-19 dari sudut penggunaan teknologi maklumat yang menjadi niche blog ini.

Umum tentu telah sedia maklum akan betapa bahayanya virus Corona ini yang menjadi satu ancaman besar kepada seluruh pelosok negara di dunia ini. Virus yang berasal dari negara China kini telah melintasi beberapa benua seperti Asia, Eropah, Afrika dan Australia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa wabak ini adalah pandemik. Pandemik bermaksud wabak yang menular dalam skop yang besar, yang tidak terhad kepada komuniti yang tertentu atau daerah yang tertentu.

status terkini covid-19

Virus Corona ini dipindahkan kepada pihak lain melalui titisan sekresi pernafasan yang jatuh ke tangan seseorang melalui hubungan terus dengan pembawa virus. Titisan itu mungkin jatuh di tangan, di meja, di komputer dan sebagainya. Berbagai kaedah digunakan dalam mengekang penularan virus ini dan sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia , Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, semua rakyat Malaysia telah diperintahkan untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

Serentak dengan implementasi Perintah Kawalan Pergerakan, rakyat Malaysia yang tidak pernah berpengalaman menghadapi situasi ini menjadi kelam-kabut dalam membuat keputusan. Dalam situasi sekarang, rakyat Malaysia haruslah bertenang dan merancang akan aktiviti-aktiviti yang akan dilakukan.

Elakkan dari mengunjungi tempat-tempat yang menjadi tumpuan awam kerana kita tidak mengetahui tahap kesihatan mereka dan sejarah sosial mereka. Antara tempat yang perlu dielakkan oleh mereka adalah tempat yang berkaitan dengan teknologi maklumat iaitu premis perbankan. Premis perbankan merupakan hotspot orangramai untuk melakukan transaksi keluar dan masuk wang. Jadi, apakah yang perlu dilakukan oleh seseorang yang ingin melakukan transaksi perbankan.

Seberapa boleh, inilah masanya untuk anda belajar ilmu perbankan online. Ramai diluar sana yang masih takut-takut menggunakan perbankan online. Perbankan online di Malaysia ini masih lagi selamat untuk digunakan. Memang terdapat beberapa laporan mengenai kegiatan scammer yang memasuki akaun perbankan online seseorang tetapi peratusannya adalah kecil dan ia merupakan kes-kes terpencil. Anda tidak digalakkan berada di premis perbankan melainkan ianya benar-benar perlu untuk anda berbuat demikian. Ini kerana terdapat berbagai jenis pelanggan bank dengan rekod sosial yang tidak diketahui. Bersesak-sesak di bank adalah mengundang risiko untuk dijangkiti oleh virus yang telah terbukti bahayanya.

Anda disarankan untuk menggunakan sistem perbankan online yang menawarkan pelbagai fungsi. Antaranya anda boleh :

  • Menyemak baki akaun
  • Membuat permohonan membuka akaun baru
  • Membuat pelaburan deposit tetap
  • Pemindahan wang kepada diri sendiri mahupun kepada pihak ketiga
  • Membayar bil-bil utiliti, kad kredit, pinjaman dan premium insurans
  • Membuat, meminda atau membatalkan arahan tetap
  • Memohon buku cek dan penyata akaun
  • Menyemak status cek
  • Memohon atahan menghentikan pembayaran cek
  • Memohon draf bank dan pemindahan telegraf.

Janganlah memunculkan diri di kaunter-kaunter bank untuk melakukan transaksi-transaksi yang boleh dilakukan melalui sistem perbankan online. Sekiranya anda tidak mahir, anda boleh sahaja mendapatkan tunjuk-ajar melalui talian sokongan yang ditawarkan oleh pihak bank. Bukan itu sahaja, anda boleh mendapatkan bantuan rakan-rakan dan saudara-mara untuk membantu anda melakukan transaksi perbankan online.

Menurut penganalisis perbankan, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, maklum balas yang diterima daripada pihak bank bahawa terdapat pelanggan yang hadir untuk melakukan urusan bukan segera termasuk ingin mendapatkan rundingan mengenai pembiayaan. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana dalam tempoh yang kritikal ini, pelanggan bank seharusnya bijak menilai adakah tindakan itu amat penting untuk dilakukan pada ketika kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31/3/2020.

Kesimpulan :

Jadilah seorang rakyat Malaysia yang bijak dan bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan. Sekiranya ada pilihan yang lain, beralihlah menggunakan kemudahan sistem perbankan online tersebut. Bukan hanya perbankan online sahaja yang perlu diamalkan, banyak lagi urusan kaunter yang boleh dilakukan secara online seperti bayaran saman PDRM, saman JPJ, pembaharuan permit pekerja dan sebagainya. Jangan gadaikan nyawa anda dan nyawa orang lain dalam kita membenteras wabak yang sedang mengancam nyawa rakyat Malaysia pada ketika ini. Anda mampu mengubah keadaan.

Rujukan :

1 Comment

  1. Pingback: Sistem Belajar Secara Online - Rentas Minda

Leave a Comment

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.